Pages

7.09.2010

SALAM ISRAK MIKRAJ

Israk dan Mikraj adalah dua perjalanan hebat sebagai anugerah dan kemuliaan kepada Baginda SAW dalam menyampaikan risalah Allah SWT. Ia juga satu mukjizat besar bagi junjungan Baginda SAW sebagai tanda kekuasaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maha suci tuhan yang memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjid Al-Haram (Makkah) ke Masjidil Al-Aqsa (Palestin) yang kami berkati sekelilingnya sebagai tanda kekuasaan kami. (Surah Al-Israk, ayat 1)


Kebanyakan ulama sepakat mengatakan peristiwa Israk dan Mikraj berlaku selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul dan berlaku dalam keadaan sedar bukan mimpi.


Ulama sejarah mempunyai pendapat berbeza dalam menentukan tahun, bulan serta malam yang tepat mengenai peristiwa hebat ini. Sebagai seorang Muslim, kita percaya ada tujuan dan hikmah tertentu bagi Allah SWT kerana menyembunyikan tarikh itu seperti dirahsiakan bilakah malam lailatul qadar, masa mustajab doa pada hari Jumaat dan waktu mustajab doa pada setiap malam.


Antara pendapat ulama yang boleh diketengahkan:

* Imam Nawawi dan Ibnu Abdul Barr berpendapat ia berlaku setahun sebelum hijrah berdasarkan hadis isteri Baginda SAW, Aisyah dan Ummu Hani yang menyebut peristiwa itu berlaku pada malam 17 Rabiulawal atau pada malam 27 Rejab.

* Ibnul Jauzi berpendapat berlakun lapan bulan sebelum hijrah.

* Rabi Bin Salim berpendapat berlakunya enam bulan sebelum hijrah.

* Syekh Ibrahim Al-Harbi berpendapat berlakunya setahun 11 bulan sebelum hijrah dan disokong oleh Ibnul Munir dalam kitabnya Syarhus Sirah.

* Berdasarkan apa yang dikeluarkan Imam At-Tabari dan Baihaqi, berlakunya Israk dan Mikraj pada Syawal atau Ramadan.

* Berdasarkan riwayat Abi Saad dari Ibnu Abi Sirah peristiwa itu berlaku pada pada Ramadan 18 bulan sebelum hijrah.

* Diceritakan oleh Ibnul Athir, Iyad dan Imam Qurtubi daripada Az-zuhri bahawa berlaku Israk dan Mikraj tiga tahun sebelum hijrah. (Kitab Israk dan Mikraj oleh Ibnu Hajar Asqalani, halaman 22), (Kitab Israk dan Mikraj oleh Dr Abi Syaibah, halaman 36).

* Syeikh Ahmad Syakir dalam kitabnya berjudul Israk dan Mikraj menyebut bahawa Al-Hafiz Abd Ghani Ibnu Surur Al-Maqdisi menyebut dalam sirahnya bahawa ia berlaku pada malam 27 Rejab yang diguna pakai oleh rakyat Malaysia dan kebanyakan kaum Muslimin dewasa ini.


Perjalanan Baginda ke langit juga disebut Mikraj
di mana Nabi SAW dipertemukan dengan semua anbiya berdasarkan kedudukan dan kemuliaan mereka di sisi Allah SWT.


Pada langit pertama Baginda bertemu Nabi Adam, langit kedua Baginda bertemu Nabi Isa dan Yahya, langit ketiga Nabi Yusuf.


Baginda SAW bertemu Nabi Idris (langit keempat), Nabi Harun (langit kelima), Nabi Musa (langit keenam) dan Nabi Ibrahim (langit ketujuh) sehinggalah ke sidratul muntaha di tempat yang tidak dapat dicapai makhluk selain Muhammad SAW (sepohon pokok yang dedaunnya lebar mengeluarkan bau harum).


from here
---------------------------------------------------------------------------------------------

PENGAJARAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

PERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.

Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.


Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.


PENGAJARAN TENTANG SOLAT


Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.


Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.


Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.


Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.


Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.


Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.


Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: "Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)).


Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.


Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.


Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.


Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).


Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).


Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.


Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.


Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.


Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.


Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.


Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)


Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: "Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)


Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)


Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.


Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj.


from
here

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Powered By Blogger

Great Morning ©  Copyright by JOURNAL of LIFE | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks